Kadar pengangguran Malaysia nyata semakin meningkat iaitu dari 47,300 kepada 826,100 ia sememangnya memberi kesan terutama graduan yang baharu menamatkan pengajian.
Pasaran pekerjaan di Malaysia juga terkesan dengan krisis ekonomi global yang disebabkan pandemik Covid-19 sekali gus mengakibatkan graduan baharu terpaksa berjuang mencari pekerjaan di pasaran yang kompetitif hari ini.
Pada 2011 kerajaan memperkenalkan inisiatif yang dapat membantu graduan mendapatkan kerja melalui modul latihan dalam dikenali SL1M di bawah unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Program itu dijenamakan semula sebagai Protege pada 2019 di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (Medac).
Kini, program yang sama memberikan sinar harapan kepada graduan yang mencari pekerjaan di tengah ketidaktentuan ekonomi global akibat Covid-19.
Sime Darby Plantation (SDP) juga adalah sebahagian daripada program Protege yang sentiasa komited dalam mendukung inisiatif dalam rangka membentuk masa depan yang lebih baik kepada belia di Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha berkata, sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Sime Darby Plantation (SDP) sentiasa menyokong inisiatif ini kerana kami komited untuk melabur dalam modal insan untuk pertumbuhan bangsa kita.
"Program Protege ini memberi kami kesempatan untuk membantu graduan baharu dengan menyediakan platform untuk latihan, baik di dalam kelas mahupun di tempat kerja dan pendedahan yang memberi manfaat jangka panjang kepada mereka.
"Sebagai balasannya, kami dapat melihat sendiri bagaimana program ini memberi mereka kemampuan untuk memberikan yang terbaik dan sumbangan nyata kepada syarikat.
"Kami juga percaya, pengalaman berharga seperti ini akan memberi mereka keyakinan untuk menghadapi pelbagai cabaran ketika mereka mula mencorakkan kerjaya mereka," katanya.
Menurutnya, SDP sudah menjadi sebahagian daripada program itu sejak 2011.
"SDP sudah meraikan 457 graduan sejak 2017, termasuk kumpulan 103 rekrut terbaharu yang sudah menyertai syarikat 3 Ogos lalu.